Pada Tahun 1961, Tuai Rumah (TR) Manila dari Ulu Machan telah mengajukan permohonan kepada Majlis Daerah Kanowit (KDC) untuk membina sekolah dikawasan iaitu Nanga Tiga, di Ulu Machan iaitu lebih kurang 2 jam perjalanan menggunakan perahu panjang dari tapak sekarang. Pegawai dari KDC telah dihantar iaitu En. Ali Majang dan En. Charlie telah dihantar untuk meninjau kesesuaian tapak yang dipohon. Oleh kerana lokasi yang agak jauh serta tapak agak kurang sesuai maka pihak KDC telah mencadangkan untuk ditukar ke tapak sekarang iaitu di Nanga Mangut. Pada tahun 1962 maka SK Ulu Machan telah dibuka dengan rasminya dengan mempunyai 2 buah rumah guru serta sebuah kelas yang dibina daripada daun ‘biro’, rotan dan kayu-kayu hutan.
Guru yang pertama kali ditempatkan adalah Cikgu Adrian Clark berasal dari Nanga Lipus, Kanowit, mengajar kelas permulaan (Tahun 1). Pada Tahun 1963, 2 kelas dibuka dan 2 orang guru iaitu Cikgu Adrian dan Mater Dennis (Kelas Tahun 1 & 2).
Tahun 1964, masih 2 buah kelas dibuka dan pertambahan guru kepada 3 orang iaitu dengan kedatangan Cikgu Peter Chi Bik Ling dan kelas Tahun 1 hingga Tahun 3. Sebuah bangunan kelas yang baru (bersimen) iaitu kelas Tahap 1 sekarang dibina pada Tahun 1965 dan mempunyai 4 kelas serta 4 orang guru. Indai Skula (Tukang Masak) juga di hantar oleh pejabat pelajaran iaitu Bibi Kalong berasal dari Nanga Jagoi, Kanowit.
Pada Tahun 1966 asrama baru dibina untuk keselesaan murid beserta dengan dapur simen. Tahun yang berikutnya 2 unit rumah guru dibina untuk menggantikan rumah yang dibina daripada produk hutan oleh pihak KDC.
SK Ulu Machan dapat dikunjungi dengan menggunakan 2 pengangkutan iaitu darat dan air. Pengangkutan darat dari Sibu dengan jarak hampir 90 Km dan mengambil masa sejam lebih, dan jika dari Pekan Kanowit jaraknya 26 KM sehingga ke Pekan Machan. Dari Pekan Machan ke SK Ulu Machan menggunakan perahu panjang yang mengambil masa selama 1 jam setengah-2 jam (Jika air besar) tetapi biasanya mengambil masa selama 3-4 jam jika cetek.
Faktor jauh bukan penghalang untuk para guru dan kakitangan sokongan untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada seluruh warga Ulu Machan termasuklah murid serta ibu bapa, dan sudah menjadi kemestian, ikrar dipahat dalam jiwa setiap Staf iaitu ‘Buat Sehabis Baik” .